Thursday, July 7, 2011

sayang. Dua-dua sayang.



Pagi ini sejurus letak dulang berisi secawan Milo suam, secawan lagi Nestum spirulina dan dua biji telur separuh masak di meja tepi katil Atuk, kedatangan saya disambut oleh soalan.


" Sekarang jam berapa? " tanya Atuk cepat-cepat.

Pasti Atuk bersedih jika saya berlalu sahaja. " Pukul 7:30 pagi Atuk!"

" Mak engkau dah pergi kerja? " tanya Atuk lagi.

Petang semalam soalan yang sama entah ke berapa kali saya ditanya, terus saya berlalu tanpa jawapan. Ekoran letih mengulang jawab hanya selang berapa tika namun seusai solat maghrib, saya di simbah pilu. Apa salahnya saya menjawab soalan Atuk. Mungkin itukah soalan terakhir yang saya dengar.

Atuk maafkan saya... Bisik hati kecil. Lantas Al Quran saya kepit ke dada menuju ke bilik Atuk.



" Atuk, tumpang mengaji disini ya? " saya cuba berbasi walau rasa seperti tak kena.

" Eh, mengajilah.. " Atuk senyum sambil memutar biji-biji tasbih di jarinya.


Terkenang saya semasa zaman kanak-kanak, bila cuti sekolah menjelang kami sekeluarga pulang ke kampung. Ke Kedah agak jarang. Kampung sebelah mama di Melaka, sebab dekat mungkin itu faktornya menjadikan lebih kerap. Di sana kami berhimpun dan yang meriah apabila bertemu sedara mara. Mesti kecoh punya. Riuh rendah dengan macam-macam ragam dan gaya.

Atuk pula terlihat bagai tak menang tangan melayan cucu-cucunya. Jika Atuk keluar, ada sahaja buah tangan di bawa balik untuk kami semua. Atuk juga sering menyakat kami lebih-lebih lagi pada sepupu-sepupu yang masih kecil, manakala yang sedikit dewasa menjadi tukang gelak bah kan tukang sorak.

Tiba musim buah, pasti Atuk akan buat liputan secara besar-besaran menyeru kami pulang. Memang seronok tak terkata, bila suasana tersebut saya kenang. Rasa masih kecil pula. Pelbagai soalan kami tanya pada Atuk dan ada-ada sahaja jawapan yang Atuk beri hinggakan kami tertawa.

Kini Atuk semakin meningkat usia tak terdaya banyak perkara dan saya menginjak dewasa, kenapa begitu pula reaksi apabila saya pula yang ditanya. Astaghfirullah.. Atuk, maafkanlah saya.. Benar, tak sengaja.


Tiap-tiap hari Atuk bertanya..

" Pukul berapa mak engkau balik kerja? " Tanya Atuk sambil meneliti jam loceng di tangannya yang mengeletar.


" Lagi 3 jam Tuk. Pukul 5:30.. " Jawab saya. Padahal hampir selang 10 minit saya di tanya soalan serupa.



ya Allah. Sebaknya.. Itu adalah soalan saya pada Atuk, masa kecil-kecil dulu. Ketika Babah dan Mama keluar bekerja. Bila mana Atuk dan Nenek bertandang ke rumah jengah kami sekeluarga. Kami adik beradik ditimpa seronok bahagia dan tidak ke rumah penjaga. Atuk dan Nenek melayan sepenuhnya.

Nenek telah lama meninggalkan semua, hampir 15tahun lamanya. Kini soalan itu Atuk yang tanya membuatkan berjurai air mata saya. Saat itu saya memikirkan hidup ini bagaikan roda.

Moga-moga sempat saya berbakti pada Atuk tercinta. Kalian juga.


Allah berfirman yang bermaksud: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil. (Surah al-Isra, ayat 24).



Atuk sporting

sampai tertidur ye Atuk


P/s: Kena jengah Tok di Kedah ni.. saya sayang Tok juga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails