Sunday, November 20, 2011

Kalumpang





Kalumpang.
Pertama kali dengar, bila nak sebut kena tanya semula. 


" Apa ke nama eh tempatnya? "


" Kalumpang lah Kau ni pun! Kulempang kang. 




Hep! Istighfar 3X.
Baik, dari dilempang tak semena-mena mari kita lihat bagaimana Kalumpang mendapat nama.


Kampung Kalumpang mula diterokai sekitar tahun 1883. Pada tahun awal penerokaan kampung, penduduk sekadar membina pondok-pondok di kawasan kampung. Nama Kalumpang sebenarnya diambil bersempena nama sebuah pokok besar yang terdapat berhampiran dengan sebuah rumah pasung.



Semua bersemangat ke Kalumpang. Semangat segar menikmati keindahan alam. Saya juga. Boleh kata hari-hari google untuk lihat suasana di Kalumpang Resort. Masya Allah cantiknya!

 Iya lah lama benar rasanya tidak melihat air turun mencurah-curah dari batu secara langsung. Bahkan boleh menyelam sambil himpun batu-batu bagi kolam makin dalam di sana nanti. Yey!


Tiba di hari yang dijanjikan, perubahan diputuskan. 


Memang ke Kalumpang kami pada pagi tersebut dan pelbagai aktiviti juga dinikmati di sana seperti paparan di bawah,




Pancing dik! pancing..


Fokus and action!


Nurin menang juga acara ni No. 1


Hasil kerja tangan Team Biru kemaslah

Semangat Biru yang menular terhadap saya juga.


Semua acara Nurin bolot dengan dapat hadiah. Adah pun.

Penuh kereta dengan Angry bird secara tiba-tiba dek mereka.




Sebelum acara bermula lagi, telah saya tinjau anak sungai. Bunyi air di jeramnya sungguh memanggil. Betul, sungai yang begitu jernih di Kalumpang Resort memang menterujakan! 

Tak percaya? google sekarang.

Namun hakikatnya plan untuk mendalamkan takungan air sungai hanya tinggal impian. Kami tidak diberi izin bermandian. Kain rentang terbentang mengkhabarkan, tegahan dari kementerian kesihatan: Virus leptospirosis atau Virus kencing tikus masih menular. 

Justeru sejurus aktiviti selesai, acara baru pula dirangka. Kami terus ke Ulu Yam menikmati air terjun. Hebat! dan alhamdulillah.



Google punya


Sekian dahulu laporan berita dari saya.

Yang Benar,
Cik Nur Farhana Mokhtar.


Tuesday, November 8, 2011

Sultan Muhammad al-Fateh

ZAMAN REMAJA

Muhammad al-Fateh mula memangku jawatan sebagai pemerintah daulah Islam pada tahun 1444 ketika baru berusia 12 tahun. Ketika itu bapanya iaitu Sultan Murad ada urusan di luar kerajaan. Tugas ini dijalankannya dengan baik selama hampir 3 tahun. Pada tahun 1451, ketika usianya 19 tahun, barulah dia secara rasminya menjawat jawatan khalifah. Sultan Muhammad ialah khalifah Uthmaniyyah yang ke-7.



ZAMAN DEWASA

Sultan Muhammad al-Fateh memimpin sendiri 25 kali kempen ketenteraan sepanjang hidupnya. Walaupun dia ketua seluruh umat Islam pada zaman itu, namun dia seorang yang berjiwa rakyat. Dikatakan ketika tentera Islam membina Benteng Rumeli Hisari, Sultan Muhammad membuka serban dan bajunya lalu turut sama menjadi buruh binaan.

Sultan Muhammad sangat gemar mengenakan serban, begitu juga dengan tentera dan rakyat Turkistan ketika itu. Selain daripada mempraktikkan sunnah, serban besar mereka itu tidak lain ialah kain kafan mereka sendiri. Hal ini menunjukkan kecintaan mereka kepada syahid pada bila-bila masa dan tentunya kecintaan kepada sunnah. Sebab itu kesemua tentera Islam pada zaman itu mengenakan serban.

Walaupun Sultan Muhammad sudah dilantik sebagai khalifah, tetapi dia masih memerlukan tunjuk ajar bapanya, yang juga mahagurunya. Oleh itu, sungguhpun Sultan Murad sudah bersara dan mahu memberi tumpuan pada amal ibadah, Sultan Muhammad tetap mahu bapanya ke medan juang. Setelah Sultan Murad uzur, barulah dia dibiarkan berehat. Kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh kepada bapanya setelah dia menjawat jawatan khalifah:

“Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.”

Begitulah lebih kurang. Dengan kata-kata ini, Sultan Murad tidak dapat berhelah lagi. Memang benar, perjuangan tidak ada hari berhentinya.

MEMBUKA KONSTANTINOPLE

Sebelum melakukan kempen ketenteraan ke atas Konstantinople, Sultan Muhammad membuat persediaan rapi. Dia belajar daripada sejarah yang menyaksikan sekian banyak kegagalan tentera Islam terdahulu dalam menyerang kota tersebut. Dengan tembok kota berlapis empat, setinggi 25 kaki dan berparit air di hadapannya, kota ini sungguh kebal. Untuk itu perancangan dan persediaan yang luar biasa mesti dilakukan.

Antara langkah awal yang diambil oleh Sultan Muhammad al-Fateh ialah mengerahkan pembinaan meriam paling besar dan berkuasa pada zaman itu. Meriam ini mampu menembak sejauh satu batu dengan peluru antara 300-1600 kilogram setiap biji. Tentera musuh memang gentar akan teknologi ketenteraan umat Islam ini. Meriam ini hanya boleh melepaskan 15 tembakan setiap hari. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya untuk umat Islam menguasai teknologi.

Tentera Islam tiba di Konstantinople dengan jumlah lebih kurang 150,000 orang. Apabila mereka solat berjemaah beramai-ramai, gementar hati tentera musuh melihat betapa ramai, berdisiplin, harmoni, bersungguh-sungguh dan bersatu hatinya tentera Islam. Dari segi psikologi, moral tentera musuh sudah menjunam jatuh.

Selain tembok kebal, penghalang besar antara tentera Islam dengan Kota Konstantinople ialah Selat Bosphorus. Kapal-kapal tentera Islam tidak dapat membuat serangan kerana tentera Kristian sudah memasang rantai besi yang merentangi selat. Strategi ini berjaya menghalang kemaraan tentera Islam untuk tempoh yang agak lama juga.

Sultan Muhammad yang berusia 21 tahun dan tenteranya tiba di Konstantinople pada 19 April 1453. Mereka menghujani kota itu dengan tembakan meriam selama 48 hari, namun Konstantinople masih utuh berdiri. Pihak musuh diperteguhkan pula dengan bantuan daripada Pope berupa 5 buah armada perang. Oleh itu, mereka yakin tentera Islam akan kehabisan ikhtiar, kelesuan dan akhirnya akan pulang dengan tangan kosong.

Satu keajaiban berlaku. Pada suatu malam, Sultan Muhammad mengerahkan tenteranya menggerakkan kapal melalui jalan darat. Mereka menarik kapal-kapal itu lalu melabuhkannya di dalam selat. Hal ini memang satu idea yang sungguh luar biasa.

Esoknya, tentera Kristian terkejut besar melihat sebanyak 72 kapal perang tentera Islam sudah berada di dalam selat dan bersedia melancarkan serangan. Mereka berasa hairan kerana rantai perentang masih tidak terjejas, jadi bagaimana kapal-kapal tentera Islam boleh melompat masuk? Ketika inilah peperangan hebat berlaku.

Sudah berlalu 53 hari namun Konstantinople tetap gagah. Sultan Muhammad tidak boleh membiarkan keadaan ini berterusan. Dengan tekad muktamad dia memberikan ucapan : “Saya hendak mati! Sesiapa yang mahu mati, mari ikut saya!”

Ucapan ini benar-benar membakar semangat tentera Islam. Seorang pahlawan bernama Hasan Ulubate dan 30 orang perajurit menyerbu masuk ke kubu musuh. Mereka berjaya memacakkan bendera daulah Islam di dalam kubu. Bendera yang berkibar itu membuatkan tentera Islam ‘naik syeikh’. Mereka bertarung sambil mengharapkan syahid. Dengan izin Allah, akhirnya Konstantinople tunduk melutut ke bawah tentera Islam. Hasan Ulubate dan 30 orang perajuritnya berjaya mendapatkan syahid. Allahu Akbar!

Konstantinople ialah kubu utama Kerajaan Byzantine. Kerajaan Byzantine lemah lalu akhirnya hancur selepas kota ini jatuh ke tangan Sultan Muhammad al-Fateh. Sultan Muhammad menukar nama Konstantinople kepada Islambol, yang membawa maksud “Islam Keseluruhannya”. Nama Islambol diubah pula kepada “Istanbul” oleh seorang musuh Allah bernama Mustafa Kamal Attarturk, Bapa Pemodenan Turki. Gereja St Sophies ditukar oleh Sultan Muhammad menjadi masjid, iaitu Masjid Aya Sophia. Sekarang dijatuhkan maruahnya sebagai sekadar sebuah muzium.

Selepas itu Sultan Muhammad menyebarluaskan lagi agama tauhid ke Hungary, Bosnia, Serbia, Albani dan sekitarnya.

bersambung... 

Monday, November 7, 2011

Sultan Muhammad al-Fateh

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH
oleh Abu Zulfiqar Amsyari

PENGENALAN

Sultan Muhammad II yang lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinople) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinople.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata: “Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera.”


Hadis ini telah membakar semangat sekian banyak tokoh dan tentera Islam untuk menakluki dan ‘membuka’ Konstantinople yang terkenal dengan keutuhan tembok berlapisnya. Dari semasa ke semasa ada saja perwira yang mahu diri mereka memenuhi maksud hadis Nabi itu. Sejak zaman para sahabat sehingga 800 tahun kemudiannya, pelbagai kempen ketenteraan dilakukan namun kesemuanya gagal menembusi tembok Konstantinople. Konstantinople yang berada dalam Empayar Byzantine ini sangat penting kerana ia merupakan laluan utama untuk ‘membuka’ Eropah keseluruhannya. Runtuh sahaja pintu Eropah, bermaksud mudahlah untuk sesiapa sahaja menerobos ke luar sana.

Tuhan menzahirkan kebenaran kata-kata Nabi Muhammad saw itu melalui Sultan Muhammad al-Fateh. Namun kita kena memahami satu perkara, iaitu Konstantinople dibuka sekurang-kurangnya dua kali. Sultan Muhammad al-Fateh ialah pembuka yang pertama manakala pembuka utamanya akan datang tidak lama lagi. Bahagian ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di bawah nanti.

Seorang sahabat Nabi bernama Abu Ayyub al-Ansari menemui kesyahidannya berhampiran tembok kota Konstantinople. Dia melancarkan serangan pada zaman Kekhalifahan Bani Umayyah. Dikatakan antara hujah Abu Ayyub ke sana ialah kerana dia pernah mendengar Rasulullah saw memberitahu bahawa akan ada seorang lelaki yang akan dikuburkan di sana. Dia berharap agar dialah orangnya. Selain itu, jika dia gagal membuka Konstantinople, dia berharap dapat mendengar derap kuda “sebaik-baik raja dan tentera” itu.

ZAMAN KECIL

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 30 Mac 1432 di sempadan Turki-Bulgaria. Bapanya Sultan Murad II (1401-1451) seorang yang soleh, handal dalam perang jihad dan mempunyai wawasan yang hebat. Dia memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya sehingga Muhammad jadi seorang yang berketrampilan sejak kecil lagi.

Muhammad belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti agama, politik, seni tempur dan beladiri, ilmu peperangan, tasauf, psikologi dan lain-lain. Dia berkebolehan dalam 7 bahasa iaitu bahasa Arab, Turki, Greek, Hebrew, Parsi, Latin dan Serbia. Hal ini menggambarkan kecerdasannya yang luar biasa.

Kekhalifahan Uthmaniyyah yang bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah aliran Asha’irah dan bermazhab Hanbali itu sangat mementingkan ilmu tasauf kesufian. Pihak istana mengamalkan Tariqat Naqshabadiyyah. Para khalifah mempunyai bilik suluk khas mereka. Peribadi yang banyak membentuk rohani Sultan Murad dan anaknya ini ialah seorang mursyid besar Tariqat Naqshabandiyyah iaitu Syeikh Shamsuddin al-Wali, seorang berketurunan Sayyidina Abu Bakar. Dia bertindak sebagai penasihat kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu.

Ketika Muhammad masih dalam buaian, Syeikh Shamsuddin pernah berkata kepada Sultan Murad, bahawa bukan baginda yang akan menguasai Konstantinople tetapi anaknya yang ketika itu sedang berada dalam buaian itu.

bersambung... 

Tuesday, November 1, 2011

Tumpang tanya.

 Ali bin Abi Tholib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

Ilmu itu seperti gudang dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu bertanya, 
semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Taala.

Hadith riwayat Abu Naim.




Hari itu, sejurus habis kelas di Akademi Razma terusan bergegas ke Kuala Lumpur. Seakan tak berdaya eh percaya kerana perlu tempuhi perjalanan sendirian. Dek penangan saya belum pernah keluar tanpa diiringi ibubapa atau ahli keluarga. Harusnya saya berasa lega kerana ia penuh cerita. Pengalaman dari dalam negara. Alhamdulillah pembelajaran baru.

Beratur untuk sekeping tiket di stesen Komuter Serdang memberikan pandangan indah kerana saya menikmati suasana betapa manusia mengejar masa. Sudahnya tibalah di giliran saya,

Saya: Tiket perjalanan ke Kuala Lumpur untuk seorang berapa harganya?
Petugas: Ke Kuala Lumpur, turun di mana Cik?
Saya: Di Kuala Lumpur. yakin seakan terbang tetiba.
Petugas: Iyalah di Kuala Lumpur itu banyak tempat. Mid Valley? KL Sentral?
Saya: ...Kuala Lumpur. Ada stesen kan di Kuala Lumpur.
Petugas: Sebentar ya, saya cek semula.


Adalah hari itu saya rajin bertanya. Bertanya semula. Platform di mana juga ditanya, di depan gerabak ' ini ke Kuala Lumpur ' ? Mujur dijawab mereka. Lega. Komuter bergerak, penghuninya bermacam gaya dengan pelbagai cara untuk mengisi masa. Hingga tiba di stesen Salak Selatan kami diarahkan keluar semua. Padahal belum lagi sepatutnya. Saya sedikit terpingga.

Oh ada masalah! kata mereka.

10 minit berlalu. Jam saya perhati, harap sempat tiba ke sana. Pukul 2 petang sesi temuduga bermula. Moga dipermudahkan nanti. Amin. Amin.  Doa saya diam-diam. Tukar Komuter juga akhirnya.


Elok tiba sahaja ada seorang petugas kawalan tanya saya, " mahu ke mana Cik ?. "
" Bangunan Jawi. " Terus saya dapat peta gambaran darinya. Alhamdulillah.



Nah, paparan tika saya tiba.


Setelah selesai urusan


Sepertinya saya pelancong dari luar negara itu hari. Betul ni! pengalaman saya.
Tak rugilah bertanya..

.... dan bila sampai giliran nama saya. Saya pula yang ditanya tanya semasa temuduga.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails