Wednesday, January 11, 2012

Perlu Arif Tabiat Lelaki

Ammar Saufi di Tanjung Dawai


Perlu Arif Tabiat Lelaki


            Qani’ah Syumaila membuka diarinya…

Ketika bergelar mahasiswa, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku Islam dan Cinta, karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani petang saya pada hari itu.
Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.

Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk.  Classmate.

“Membimbing atau mengajak bercinta?” hati saya mempersoal. 

Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang  maksiat terbuka luas.

            Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.

Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.

Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?

“Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?” syaitan mengejek saya. 

“Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja.” Saya patahkan hujah syaitan.

Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
“Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?” dia mengorek rahsia.

“Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa,” jawab saya.

Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.

Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden,” dia meluahkan.

Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.

Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran. 

“Awak ikut desakan hati?” saya bertanya.
“Saya meminta dia menjaga, memperhatikan atau menasihati saya agar istiqamah,” katanya.
            “Lalu, apa yang terjadi?”saya berkata.
            Dia meluahkan lagi, 

Setiap hari…

 Kalau tidak bertemu, rasa ada suatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan.
            Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan kuat untuk tahu kondisinya.
            Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?

            “Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala,” jawab saya.
“Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?” dia bertanya.
“Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya,” jawab saya.

Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.

Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkap cinta. Siapa yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan. Menghampiri syurga atau menghampiri neraka?

            Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan “Good bye” kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.

            Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.

            Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.

            Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.

Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan. 

Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat.

Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.

Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan ‘sudut pandang’ terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.


Sebarkan Bahagia I Blog Fatimah Syarha
Sumber : SINI 

Tuesday, January 10, 2012

Coretan Sebak




SHAH ALAM - Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada petuduhan liwat sudah diketahui umum. Bagaimana pula dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Apa cerita di sebalik khabar gembira tersebut. Sinar Harian membawa pembaca menyelami rasa hatinya. Ikuti wawancara eksklusif Editor Sinar Harian, MAZLINDA MOHD NOR bersama Wan Azizah.





ABANG Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

"Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu."

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

"Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama."

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

"Ya RAHMAN... jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan."

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

"Ya AZIZ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL... berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

"Ya RAHMAN... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!"

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

"Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan."

"Ya ALLAH... rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

"Ya SAMIE’...terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini."

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM...ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

"Ya HAKIM... ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

"Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira."

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis misih ada.

"Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami."





Sinar Harian 
Sumber: SINI




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails