Friday, July 27, 2012

Apa Yang Saya Belajar Daripada ARTIS Dan ATLET



Ada dua perkara yang saya belajar daripada golongan karyawan.
Pertama adalah FOKUS.
Kedua adalah PENGHAYATAN.
Seorang pelakon apabila membaca skrip lakonannya, dia membaca dengan begitu fokus dan penuh penghayatan. Usaha untuk menguasai watak lakonan di dalam skrip, membolehkan seorang gadis clubbing melakonkan watak ustazah hingga kelihatan lebih ustazah daripada ustazah. Mereka membaca dengan khusyuk, sanggup menguruskan badan atau menggemukkannya untuk melakonkan watak yang diberi.
Impak membaca seorang pelakon, lebih dahsyat berbanding impak membaca seorang pelajar Syariah di dalam kuliah universiti jam 8 paginya!
ATLET OLIMPIK
Apa yang saya belajar daripada seorang ATLET OLIMPIK?
Petikan KOSMO! ONLINE bertarikh 27 Julai 2012 menjelaskannya:
“…Menyentuh soal disiplin pula, perkara ini sangat penting untuk jadi seorang juara. Makan tak boleh seperti orang biasa, tidur tak boleh macam orang biasa. Untuk jadi seorang juara dunia, pelumba kita mesti lakukan perkara yang berbeza dengan orang lain. Kalau mereka lihat, orang biasa tidur pukul 12 tengah malam, mereka pun nak tidur pukul 12 tengah malam, kalau mereka lihat orang makan di kedai mamak, mereka pun nak makan di kedai mamak.
Kalau mereka buat perkara yang sama seperti orang biasa, mereka tak mungkin jadi juara dunia. Kalau mereka nak jadi juara, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa. Kalau nak jadi 10 pelumba terbaik di dunia, mereka mesti lakukan perkara yang luar biasa daripada orang lain. Jika mereka sekadar nak berkayuh di kampung, mereka boleh minum teh tarik dan roti canai. Pengorbanan itu sangat penting kalau mahu berjaya. Mereka tak boleh bersuka ria seperti orang biasa.
Kalau mereka dah sanggup berkorban, barulah kita boleh bercerita soal mahu jadi juara dunia…”
KUALITI JUARA
Kualiti fokus, bekerja keras, disiplin itu jugalah kualiti yang diperlukan untuk menjadi JUARA AKHIRAT.
SYURGA FIRDAUSI hanya menerima keahilan orang-orang hebat.
Kehebatan kualiti itu saya tidak belajar daripada AGAMAWAN yang hanya BERCAKAP. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk merendahkan diri di hadapan golongan-golongan tersebut. Jika saya seorang ustaz dan mahu berdakwah kepada masyarakat, juga kepada golongan KARYAWAN dan ATLET, cara terbaik untuk mengajar mereka ialah belajar daripada mereka, terlebih dahulu.
Sebab itu saya teruja dengan Olimpik London 2012.
Saya tidak peduli kepada sejarah Olimpik.
Saya tidak nampak gangguan berita penyebaran kondom kepada atlet seperti yang 
diwar-warkan media.
Saya hanya nampak wajah-wajah juara.
Nor Suryani Mohamad Taibi - foto kredit http://i.telegraph.co.uk/
Saya nampak Penembak Negara, Nur Suryani Mohamad Taibi yang merupakan seorang ibu, sedang sarat mengandung lapan bulan, mengejar Pingat Emas, dengan penuh keyakinan.
Beliau menjadi wanita paling sarat mengandung dalam sejarah penyertaan Olimpik dunia!
 
Azizulhasni Awang. Foto kredit http://www.baikbike.com/
Saya nampak Pelumba Basikal Negara, Azizulhasni Awang  yang semenjak Tingkatan Tiga, menolak tiga tawaran MRSM dan Sekolah Sains, masuk ke Sekolah Sukan Negara Bukit Jalil kerana sangat jelas apa yang beliau mahu. Cita-cita asal untuk menjadi seorang doktor, diketepikan kerana fokus serta komited dengan cita-citanya menjadi Juara Lumba Basikal Dunia.
Dan Pocketrocketman, pada usia 24 tahun sudah pun bergelar Juara Dunia.
Demikian juga dengan Dato’ Lee Chong Wei (Badminton), Josiah Ng (Lumba Basikal) dan lain-lain.
TERBAIK, KEKAL TERBAIK
Semuanya mengingatkan saya kepada perbualan yang berlaku di antara Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersama para sahabat:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قِيلَ : ” يا رَسُولَ اللَّهِ ، أَيُّ النَّاسِ أَكْرَمُ ؟ قَالَ : أَكْرَمُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاهُمْ . قَالُوا : لَيْسَ عَنْ هَذَا نَسْأَلُكَ . قَالَ : فَعَنْ مَعَادِنِ الْعَرَبِ تَسْأَلُونَنِي ؟ قَالُوا : نَعَمْ . قَالَ : خِيَارُكُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُكُمْ فِي الإِسْلامِ إِذَا فَقِهُوا 
Daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW ditanya, siapakah manusia yang paling mulia? Baginda menjawab, “Orang yang paling bertaqwa di antara mereka.” Lalu mereka (yang bertanya) berkata : “Bukan itu yang kami maksudkan.” Maka sabda baginda lagi, “Daripada keturunan Arabkah yang kamu hendak tanyakan? Mereka yang terbaik semasa Jahiliah adalah terbaik semasa Islam apabila mereka benar-benar memahami syariat Islam.” 
[muttafaq 'alayhi]
Yang terbaik akan terus kekal yang terbaik, apabila mereka benar-benar memahami Syariat Islam.
Sebab itu saya amat bersungguh, apabila atlet negara menghubungi saya bertanyakan garis panduan berpuasa semasa Olimpik musim panas di Kota London.
Isunya bukan sekadar hukum Fiqh.
Isunya ialah daripada soalan Fiqh itu saya mahu memotivasikan mereka.
Kerana mereka telah terdahulu amat memotivasikan diri saya!
SEERU ‘ALAA BARAKATILLAAH!
Perkongsian dari Blog www.saifulislam.com

Saturday, June 16, 2012

Lirik Selawat Ya Hana Na



Jujur, selepas menikmati lantunan Selawat ini..jadi ketagihan.



Ini antara salah satu pujian untuk Baginda Nabi. 


Judulnya Ya Hana Na 



KURANG LEBIH ERTINYA:


" Betapa Beruntungnya Kami "

Telah muncul agama yang didukung,
Telah muncul agama yang didukung dengan munculnya sang Nabi Ahmad,
Betapa beruntungnya kami dengan Muhammad,
Itulah anugerah dari Allah.

Betapa beruntungnya kami,
Diistimewakan dengan as-Sab’ul Matsany (al-Fatihah),
Penghimpun rahsia setiap makna, tiada yang setanding dengannya,
dan Allah mewahyukannya kepadanya (Muhammad SAW),

Betapa beruntungnya kami,
Ketika di Makkah bulan tampak terbelah deminya (Muhammad SAW),
lalu kabilah Mudhar (kabilah Muhammad SAW) dibanggakan di atas seluruh manusia.

Betapa beruntungnya kami,
Beliau adalah manusia yang terbaik ciptaannya, dan teragung akhlaknya,
Menjadi sebutan barat dan di timur.
Segala puji bagi Allah,

Betapa beruntungnya kami,
Berselawatlah kepada sebaik-baik manusia, yang terpilih,
Sang bulan purnama,
Berselawatlah dan sampaikan salam kepadanya,
kelak ia akan memberi syafaat kita di hari kebangkitan.

Betapa beruntungnya kami.

Sunday, March 11, 2012

Doa Dipermudahkan Urusan


اللّهُمَّ لا سَهْلا إِلا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلا وَأَنْتَ

تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِيئْتَ سَهْلا

“Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah. Dan Engkau dapat jadikan susah itu mudah, apabila Engkaumenghendakinya”

Friday, March 2, 2012

Kasihku di Kelantan



Atas bas di atas bas dua tingkat saya sedang memenuhi tanah semaluberduri, tampak begitu jitu disitu.

Sejak Rabu lepas lagi telah berada di bumi serambi Mekah.

Serambi Mekah.
Kamu tak pernah tahu ia wujud di Malaysia? Baiklah, ia gelaran pada Kelantan.

Dan kini saya dalam perut Bas Perdana. Satu ketika dulu Bas Mutiara, dengan slogan InsyaAllah selamat kali ini maaf saya tidak tahu. Yang pasti pada tiket Bas Perdana tertera 'Had Barangan Hanya 20kg Sahaja'. Jadi jangan pernah jangka had muatan pada flight semata. Hehe..

Sepanjang di Kelantan mata saya sentiasa disajikan keindahan baby. Si Kasih,


Mari kita berkenalan


Nur Qaseh Aleesya.

Saya sambung cerita nanti,  kondisi senget-senget sedikit kurang menyenangkan untuk penulisan

Wassalam.

Wednesday, February 22, 2012

Jemputan berpanduan




dari Google

Musim Kenduri Kahwin sentiasa berlarutan. Makin rancak lebih-lebih lagi pada cuti persekolahan. Bersusun jugalah kad-kad jemputan. 

Pada teman-teman yang telah mendirikan rumah tangga, Tahniah diucapkan. Moga kalian diberkati Allah SWT. Untuk teman-teman yang telah menyambut kedatangan ahli keluarga baru juga, Tahniah dan selamat berbahagia saya raikan. 

Di tanah semaluberduri juga ada jemputan..
Jemputan membaca Panduan untuk dikongsikan bersama.

Untuk si Kecil,

1) Jangan pukul anak dari lutut keatas

2) Jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita utk memukul anak dengan tangan dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. nanti anak jadi bertambah degil dan nakal dan tak boleh control
 
3) Rotan/pukul anak di telapak kakinya . Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”

4). Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. (Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan).

5). Berikan anak anda pelukkan setiap hari (Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk)

6). Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang (Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran)

7). Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan (Berilah pujian, pelukkan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya).

8). Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka buatkan mereka ingin mengalami setiap perkaratermasuklah berbuat silap.

9). Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga,pilihlah keluarga (Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali).

10). Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah tuan/puan mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

11). Dengarlah cerita anak anda, cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap (Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap)

12). Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

13). Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

14). Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. (Anak2 yg dtg daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain).

15). Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

16). Luangkanlah masa bersama anak anda diluar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

17). Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu real dalam dunia mereka.

18). Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

19). Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam,

20). Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

21). Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

22). Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

“Anak- Anak ibarat kain putih. Ibu bapa lah yang mencorakkannya menjadi yahudi, nasrani atau majusi”

Wednesday, January 11, 2012

Perlu Arif Tabiat Lelaki

Ammar Saufi di Tanjung Dawai


Perlu Arif Tabiat Lelaki


            Qani’ah Syumaila membuka diarinya…

Ketika bergelar mahasiswa, saya menjadikan perpustakaan sebagai rumah kedua. Seronok mengisi masa dengan membaca. Buku Islam dan Cinta, karangan Abdullah Nasih Ulwan menemani petang saya pada hari itu.
Tiba-tiba, ada sebuah SMS masuk.

Saudari,
Awak kelihatan sangat solehah. Sudikah awak membimbing diri saya yang jahil ini. Saya mahu berubah. Saya ikhlas dahagakan petunjuk.  Classmate.

“Membimbing atau mengajak bercinta?” hati saya mempersoal. 

Jika ikhlas mencari petunjuk, dia sepatutnya berjumpa ustaz, bukan berjumpa saya. Berjumpa saya hanya menyebabkan ruang  maksiat terbuka luas.

            Sekalipun dia mengajak saya bernikah agar saya dapat mengubahnya, saya tidak boleh jahil tabiat lelaki. Lelaki lazimnya tidak suka sekiranya seorang isteri mengubah dirinya. Sekiranya peluang membuat perubahan itu ada tapi tidak boleh terlalu dipercaya. Peluangnya tipis sahaja.

Tatkala lelaki memegang darjat suami, keegoan mudah merasuk diri. Sukar mengikut kehendak orang lain apatah lagi kehendak isteri. Mengubah tabiat lelaki sangatlah payah. Apatah lagi, sekiranya cara hidupnya terbiasa dengan alpa dan dosa sejak muda.

Perlukah saya memperjudikan masa depan dengan menikahi lelaki yang tidak mampu membimbing diri sendiri? Adakah dia mempunyai modal untuk membimbing keluarganya nanti?

“Orang minta bimbingan saja. Kenapa fikir jauh sampai soal nikah?” syaitan mengejek saya. 

“Jika aku berani memulakan, kena fikir kesudahan. Nikah dengan lelaki sebegini atau membiarkan anggota badan berzina. Baik abaikan sahaja.” Saya patahkan hujah syaitan.

Seorang rakan menuju ke arah saya kemudian duduk di sebelah.
“Ramai kawan-kawan kita suka gandingkan nama awak dengan Presiden. Boleh saya tahu hal sebenarnya?” dia mengorek rahsia.

“Itu gosip sahaja. Kami tiada apa-apa,” jawab saya.

Saya menyembunyikan rahsia bahawa memang benar Presiden pernah menghantar surat risikan kepada saya. Cuma, istikharah dan musyawarah saya dengan ibubapa belum mengatakan dialah orangnya. First thing first.

Alhamdulillah. Saya sebenarnya sudah lama minat pada Presiden,” dia meluahkan.

Saya tidak pelik mendengarnya. Wanita yang baik mudah tertarik kepada lelaki yang baik. Itu fitrah. Wanita yang jahat mudah tertarik kepada lelaki yang jahat. Begitulah sebaliknya. Saya tadahkan telinga mendengar bicara hatinya.

Katanya, yang ini lain. Rasa tertarik itu pada kesolehannya. Pada akhlaknya. Pada kesamaan visi dan misi dalam dakwah. Masing-masing tahu ada batasan. Dilemanya, hati mendesak untuk memberi perhatian. Hati mendesak untuk menunjukkan sikap memahami. Hati mendesak untuk saling berpesan-pesan atas kebenaran dan kesabaran. 

“Awak ikut desakan hati?” saya bertanya.
“Saya meminta dia menjaga, memperhatikan atau menasihati saya agar istiqamah,” katanya.
            “Lalu, apa yang terjadi?”saya berkata.
            Dia meluahkan lagi, 

Setiap hari…

 Kalau tidak bertemu, rasa ada suatu yang hilang. Perlu segera diintai-intaikan.
            Ada kerisauan tentang dirinya. Ada keinginan kuat untuk tahu kondisinya.
            Andai bertemu, berpandangan, atau SMS muncul pula rasa bersalah, gelisah, menyesal dan takut membuat Allah murka. Kenapa ya?

            “Kerana hati awak masih hidup mengenal mana dosa dan mana pahala,” jawab saya.
“Lepas saya mengungkap cinta kerana Allah, dia seakan menjauhkan diri. Salahkah saya?” dia bertanya.
“Tanyalah hati. Bimbang, ungkapan cinta Yang Esa tapi pengisian leka dari-Nya,” jawab saya.

Saya berkongsi pendapat dengannya. Dalam hubungan yang tidak halal, cinta yang fitrah amatlah senang bertukar menjadi fitnah. Sukar mengenali mana cinta dan mana nafsu kerana topengnya handal, sukar dikenali. Orang yang biasa mendidik hati mampu mengenalinya.

Saya tidak mahu terlalu mudah mengungkap cinta. Siapa yang bakal menerima ungkapan cinta mestilah lelaki high class bukan lelaki sembarangan. Perlu ada matlamat. Perlu lihat kesudahan. Menghampiri syurga atau menghampiri neraka?

            Saya berpesan supaya tidak perlu bertindak bodoh mengucapkan “Good bye” kepada dunia andai kehilangan cinta manusia. Patah tumbuh hilang berganti. Yang penting, Allah setia mencintai.

            Selepas rakan saya itu beredar, saya jadi tertanya-tanya. Kenapa wanita kaya, cantik, bijak, menarik dan solehah sepertinya tidak mendapat tempat di hati Presiden? Kenapa Presiden lebih sanggup cuba mendapatkan saya? Saya cuma seorang gadis yang sangat sederhana.

            Saya semakin arif tabiat lelaki. Secara semulajadinya, lelaki sukakan cabaran. Yang mudah menyerah diri, mudah pula disakiti. Yang sukar didapati, semakin bersungguh dia mencari. Maka, saya perlu terus menghunus duri. Agar cinta ini terpelihara untuk seorang suami yang diredhai Ilahi.

            Saya mesti terus belajar tabiat lelaki. Bukan untuk menyaingi atau mengalahkan mereka. Saya cuma tidak mahu diperdaya. Saya melihat betapa ramai wanita telah dipermainkan. Mereka gagal mempertahankan diri. Mereka gagal keluar dari kebergantungan kepada permainan cinta sandiwara lelaki.

Saya tahu saya tidak mampu mengubah tabiat lelaki. Tapi saya mampu membantunya menjadi lelaki sejati. Bukan dengan cara melayan dan membimbingnya menjadi model lelaki idaman. Lelaki pasti mengambil kesempatan di atas sebuah kelembutan. 

Caranya, saya mesti menghunus duri. Awas, jangan dekat! Jika mahu, dapatkan secara terhormat. Biar lelaki tahu, wanita itu untuk diselamat bukan diperalat.

Malah, setelah nanti saya telahpun bergelar isteri, saya tidak boleh berhenti untuk belajar tabiat lelaki. Lelaki suka berjanji dan cepat berubah hati. Saya melihat realiti masyarakat. Biar betapa baguspun seorang isteri melayani suaminya, masih ada lelaki yang gagal setia malah sesuka-hati memperdaya isterinya. Apatah lagi jika isterinya banyak kelemahan, ramai lelaki lebih suka menghukum daripada mendidik sehikmahnya.

Saya yakin, ada suatu rahsia yang menggerakkan tindakan lelaki. Saya mesti arif rahsia ini. What you see is what you get. Saya mesti bijak menyelaraskan ‘sudut pandang’ terhadap sesuatu isu sensitif yang melingkari alam rumah tangga sejak mula. Perlu juga ada jaminan undang-undang untuk mempersiapkan diri pada sebarang kemungkinan. Bukan kerana tidak percaya tapi kerana tabiat lelaki cepat berubah.


Sebarkan Bahagia I Blog Fatimah Syarha
Sumber : SINI 

Tuesday, January 10, 2012

Coretan Sebak




SHAH ALAM - Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada petuduhan liwat sudah diketahui umum. Bagaimana pula dengan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail? Apa cerita di sebalik khabar gembira tersebut. Sinar Harian membawa pembaca menyelami rasa hatinya. Ikuti wawancara eksklusif Editor Sinar Harian, MAZLINDA MOHD NOR bersama Wan Azizah.





ABANG Nuar sudah siap berpakaian. Sudah sedia untuk bersarapan. Seperti biasa semua suplemen yang perlu untuk kesihatannya sudah masuk ke mulut lalu ditelan. Saya sekadar memerhatikan.

Mata menatap sayu. Hati berdetik. Mungkinkah ini sarapan pagi terakhir kami bersama?

"Ya RABB. Jauhilah kami dari berita duka itu."

Abang Nuar seperti dapat membaca kata hati saya.

"Apa juga keputusan mahkamah, keluarga kita tetap bersatu. Hati kita tetap bersama."

Abang Nuar tenang. Saya semakin pilu.

Sudah banyak dugaan yang kami lalui sepanjang kehidupan ini. Sesekali sehingga rasa tidak mampu dipikul manusia biasa sekecil saya. Amat berat.

Namun saya tetap yakin, ALLAH menduga setakat mampu umatnya.

"Ya RAHMAN... jika ini laluan yang ENGKAU tentukan untuk aku, hambamu yang kerdil ini tetap reda. Berilah aku kekuatan. Berilah aku jalan."

Dua setengah tahun hidup kami tertekan, seperti mati perlahan-lahan. Fitnah memang racun yang membunuh.

Kami membina satu kehidupan atas landas Islam. Sentiasa berusaha mendekati TUHAN. Namun semakin kerap kami sujud, semakin besar cabaran mendepan.

"Ya AZIZ... Tuhan Yang Maha Kuat. Lindungilah kami dari fitnah yang menjahanamkan. Ya JALIL... berilah kami kemuliaan.

Anak-anak dan menantu semua sudah sedia.

Ini juga kebesaran TUHAN. Selama ini baik kenduri atau hari raya, kami jarang dapat berkumpul sebegini. Tapi kali ini Izzah, Ilham, Ihsan, Nuha, Muhammad Reza, Nurul Syaheedah, dan Mohd Khairul semua ada. Hati kami bersatu, jiwa kami berpadu.

Mata anak-anak pula saya tatap. Satu persatu, silih berganti.

Ya mereka tenang. Mahu melangkah keluar meneman ayah tersayang tanpa garis-garis kedukaan.

Melihat mereka, semangat saya datang kembali. Benar kata Abang Nuar, apa juga keputusan mahkamah kami akan tetap bersama.

Malam tadi, pulang dari ceramah di Kampung Pandan malam sudah bertemu pagi. Kami kelaparan. Sambil menjamu perut di meja makan, kami bercerita, Tentang zaman sekolah, filem dan pelbagai. Kami ketawa bersama. Bahagia. Bagai tiada lara. Tiada nestapa.

Mungkinkan saat itu akan dapat diulang lagi?

"Ya RAHMAN... Engkau lebih tahu dan mengerti kasih sayang antara kami. Jangan kau putuskan Ya RABB. Jangan ada penghalang. Jangan biar jeriji besi itu memisahkan kami sekali lagi!"

Sepanjang perjalanan ke mahkamah, saya tidak pernah berhenti berdoa. Moga apa yang bermain di fikiran TUHAN akan terbalikkan.

Luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta sudah penuh dengan manusia. Saya terasa gementar. Namun saya mesti kuat. Kami sudah menghampiri bangunan yang akan menentukan nasib Abang Nuar hari ini. Jadi kekuatan dan ketabahan yang saya tunjukkan tentu akan memberi tambahan semangat untuk Abang Nuar berhadapan dengan apa juga keputusan yang memungkinkan.

Melihat wajah Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, hati saya kembali tidak keruan. Mula berbolak-balik. Akan disabit bersalahkan Abang Nuar? Atau lepas?

Sejujurnya saya sudah serik untuk mengulang episod sedih 1998. Saya sudah letih untuk diheret dalam kedukaan panjang. Jika abang Nuar disabit bersalah... walau anak-anak kini sudah besar, kedukaan kami tidak ada bezanya. Malah lebih berganda.

Apakan tidak, jasad yang sudah dipanjat usia, fizikal dan jiwa sudah tidak sekuat dulu. Berita sedih yang kami terima sudah pasti merentap segala rasa.

"Mahkamah mendapati Anwar tidak bersalah dan memutuskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel asid deoksiribonuleik (DNA) tidak terusik. Mahkamah tidak boleh bergantung kepada bukti DNA tersebut. Maka mahkamah ditinggalkan dengan keterangan pengadu. Bagaimanapun, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan pengadu yang tidak disokong.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan."

"Ya ALLAH... rahmat apakah yang KAU berikan kepada kami.

"Ya SAMIE’...terima kasih kerana mendengar rintihan kami selama ini."

Abang Nuar bebas!

Saya menangis. Anak-anak menangis.

Saya merangkul erat Abang Nuar. Abang Nuar membalas kejap. Saya tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Sekadar mengucap syukur kepada ALLAH.

Saya perhati anak-anak. Mereka juga berpelukan.

Saat ini terasa lerai derita dari tubuh. Lerai sengsara dari jiwa.

‘Ya ‘ALIEM...ENGKAULAH yang lebih mengetahui.

"Ya HAKIM... ENGKAULAH sebenarnya yang menetapkan keputusan segala sesuatu.

"Syukur Ya ALLAH kerana mengizinkan kami melangkah keluar dari mahkamah dengan hati gembira."

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Masjid Segambut. Menunaikan solat Syukur tanda terima kasih kepada TUHAN.

Hari ini dada kami sudah lapang. Senyum kami masih bersisa walau tangis misih ada.

"Terima kasih Ya ALLAH. KAU jawab munajat kami, KAU lerai derita kami."





Sinar Harian 
Sumber: SINI




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails