Thursday, July 7, 2011

sayang. Dua-dua sayang.



Pagi ini sejurus letak dulang berisi secawan Milo suam, secawan lagi Nestum spirulina dan dua biji telur separuh masak di meja tepi katil Atuk, kedatangan saya disambut oleh soalan.


" Sekarang jam berapa? " tanya Atuk cepat-cepat.

Pasti Atuk bersedih jika saya berlalu sahaja. " Pukul 7:30 pagi Atuk!"

" Mak engkau dah pergi kerja? " tanya Atuk lagi.

Petang semalam soalan yang sama entah ke berapa kali saya ditanya, terus saya berlalu tanpa jawapan. Ekoran letih mengulang jawab hanya selang berapa tika namun seusai solat maghrib, saya di simbah pilu. Apa salahnya saya menjawab soalan Atuk. Mungkin itukah soalan terakhir yang saya dengar.

Atuk maafkan saya... Bisik hati kecil. Lantas Al Quran saya kepit ke dada menuju ke bilik Atuk.



" Atuk, tumpang mengaji disini ya? " saya cuba berbasi walau rasa seperti tak kena.

" Eh, mengajilah.. " Atuk senyum sambil memutar biji-biji tasbih di jarinya.


Terkenang saya semasa zaman kanak-kanak, bila cuti sekolah menjelang kami sekeluarga pulang ke kampung. Ke Kedah agak jarang. Kampung sebelah mama di Melaka, sebab dekat mungkin itu faktornya menjadikan lebih kerap. Di sana kami berhimpun dan yang meriah apabila bertemu sedara mara. Mesti kecoh punya. Riuh rendah dengan macam-macam ragam dan gaya.

Atuk pula terlihat bagai tak menang tangan melayan cucu-cucunya. Jika Atuk keluar, ada sahaja buah tangan di bawa balik untuk kami semua. Atuk juga sering menyakat kami lebih-lebih lagi pada sepupu-sepupu yang masih kecil, manakala yang sedikit dewasa menjadi tukang gelak bah kan tukang sorak.

Tiba musim buah, pasti Atuk akan buat liputan secara besar-besaran menyeru kami pulang. Memang seronok tak terkata, bila suasana tersebut saya kenang. Rasa masih kecil pula. Pelbagai soalan kami tanya pada Atuk dan ada-ada sahaja jawapan yang Atuk beri hinggakan kami tertawa.

Kini Atuk semakin meningkat usia tak terdaya banyak perkara dan saya menginjak dewasa, kenapa begitu pula reaksi apabila saya pula yang ditanya. Astaghfirullah.. Atuk, maafkanlah saya.. Benar, tak sengaja.


Tiap-tiap hari Atuk bertanya..

" Pukul berapa mak engkau balik kerja? " Tanya Atuk sambil meneliti jam loceng di tangannya yang mengeletar.


" Lagi 3 jam Tuk. Pukul 5:30.. " Jawab saya. Padahal hampir selang 10 minit saya di tanya soalan serupa.



ya Allah. Sebaknya.. Itu adalah soalan saya pada Atuk, masa kecil-kecil dulu. Ketika Babah dan Mama keluar bekerja. Bila mana Atuk dan Nenek bertandang ke rumah jengah kami sekeluarga. Kami adik beradik ditimpa seronok bahagia dan tidak ke rumah penjaga. Atuk dan Nenek melayan sepenuhnya.

Nenek telah lama meninggalkan semua, hampir 15tahun lamanya. Kini soalan itu Atuk yang tanya membuatkan berjurai air mata saya. Saat itu saya memikirkan hidup ini bagaikan roda.

Moga-moga sempat saya berbakti pada Atuk tercinta. Kalian juga.


Allah berfirman yang bermaksud: Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah, Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku ketika aku kecil. (Surah al-Isra, ayat 24).



Atuk sporting

sampai tertidur ye Atuk


P/s: Kena jengah Tok di Kedah ni.. saya sayang Tok juga.

Thursday, June 16, 2011

Tak Terbatas Waktu



Setelah mampu berdiri sendiri, kemudian boleh berjalan dan terus meniti tanpa tongkat, sungguh boleh mentitiskan air mata. Betapa hebatnya kurniaan Pencipta, betapa hinanya diri tidak miliki kuasa melainkan izin dari DIA walau hanya ingin setapak melangkah .


Allahu Rabbi.. Terima kasih Tuhan telah beri dan pinjamkan sepasang kaki sejak 24 tahun yang lalu. Direhatkan lebih kurang dua bulan dan kini tiba waktu kembali berkhidmat hingga akhir hayat. Proses yang telah membentuk erti bersyukur dengan pemberian. Moga ia kekal menjadi pengajaran serta panduan dalam mengumpul dana untuk dipersembahkan pada- Nya kelak.


Kasihnya Mama terbukti tidak terbatas, kasihnya Babah sungguh tidak terbalas.



Mama & Babah di Kelantan



Amirah Husna pon sempat saat membahagiakan.


Terima Kasih Ayahanda dan Bonda tercinta atas segala-galanya. Moga berbahagia hingga ke syurga dalam rahmat-Nya! Cintaku pada kalian makin-makin bergemerlapan.



p/s: Untuk pengantin, Pn. Sayana dan pasangan, Tahniah kedatangan insan baru.

Monday, May 30, 2011

Tembaga Suasa

Pernah kamu dengar tembaga atau lihat dengan mata kepala bagaimana rupanya?



Baik.

Semenjak simen bertukar rupa, tidurku bertemankan tembaga. Melekat erat semacam tidak dibenar terpisah biar sesaat. Dalam rupa nan layu kesan dilayur dan berminyak sakan dek minyak kelapa ia bertindak ligat di tempat patah namun tak ternampak pada mata biasa.


Tembaga Suasa nama penuh ia atau Crinum Asiaticum ialah nama saintifik kepada peneman kaki saat ini. Crinum Asiaticum atau dikenali juga sebagai Crinum Lily sangat berkhasiat terutama pada daunnya. Rupa daun Tembaga Suasa seakan-akan daun Pandan. Bezanya ia lebih tebal, lebar dan besar berbanding daun pandan.


Daun Tembaga suasa berkesan membantu proses pemulihan jika bengkak, terseliuh, retak dan patah. Ada sesetengah cara, tumbuk lumat daun tersebut dan tampalkan ia pada tempat sakit.

Mama pula lain cara aplikasi daun Tembaga suasa pada saya.
Seusai solat isyak, saya dipanggil Mama.



Okay, saya dah tahu kenapa.


Proses membalut akan bermula.
Insya Allah khair Farhana.. khair insya Allah. Tak sakit punya.






Tembaga Suasa

Friday, May 20, 2011

Borg el Arab ke Malaysia

30 Mei ini akan bertemu Doktor di Hospital Ampang semula untuk rawatan susulan. Insya Allah.



Terimbas 3 Mei yang lepas, detik terbang pulang dari Borg El Arab dengan Qatar Airways diiringi oleh Abah, gelaran kepada Pegawai Negeri hingga ke tanah air.





Antara yang memastikan saya selalu dalam keadaan selesa




Terima kasih tak terucap pada semua. Semua yang memudahkan saya dan mereka-mereka yang saya tidak lupa telah memberi sokongan juga bantuan. Mudah-mudahan kalian Allah SWT mudahkan.



Terbang ke Malaysia dari Mesir dibatasi dengan persinggahan. Kali ke 3, Doha dijejak lagi.


Bezanya kali ini, beza sekali. Laluan saya tidak seperti penumpang Airbus A320 yang lain. Ruang saya sepanjang perjalanan juga dah serupa orang yang ikut sesuka hati. Eh, tak. Crew kabin yang bagi. Sesuka hati itu melampaulah bunyi.





Mereka turun menggunakan tangga dan saya turun guna lori. Lori? Memang lori berlif.



Malah sewaktu singgahan ketika proses petukaran saya juga memintas penumpang lain. Kemudahan rawatan Hospital di Doha juga adalah perkhidmatan yang disediakan.

Pegawai Negeri mengiringi banyak memudahkan urusan saya. Bagasi ditahan di Airport Alexandria, dikumbahnya oleh mereka sesuka hati. Disorong wheelcha oleh warga Nepal dan Philipina di Airport Doha, hinggakan kejap-kejap saya kata, " Wait, wait! Go with him too". Abah kena ada.

//


Alhamdulillah tiba di Malaysia sekitar jam 2 petang.


Melepasi imigresen pun dengan bantuan, melintasi penumpang yang berbaris siur panjangnya.

..dan balik dengan Abah, akhirnya Babah pun tiba.
Sampai sahaja di kereta, Nurin dan adah yang sedang menunggu pun kata,
" Eh Cikgu, Macam Aiskrem lah kaki Cikgu tu."


Syukran kathir ya semua.



“Apabila seseorang itu redha dengan kesakitan, maka kesakitan itu akan menjadi penghapus dosa-dosanya ( Hadis Riwayat Bukhari )”

amin.
Moga-moga..

Baitku, Ahli Baitku.



Syaqaiqun Nu'man.


Nama teratak bagi saya dan teman serumah berteduh dari sejuknya sejuk di musim sejuk beku dan bahangnya panas di musim memanas tika bermukim di Alexandria. Rumah tersebut menghimpunkan kami dari serata negeri untuk menadah ilmu di negeri padang pasir. Sudah tentunya pelbagai kenangan melekat banyak di situ.


Peninggalan pesanan di YM dari teman serumah mendetakkan jantung laju-laju. Apa tidaknya, meminta saya melihat laman PCI. Ada catatan tragedi di Syaqaiqun Nu'man baru-baru ini dan kejadian itu telah disematkan di blog pelajar.



ya Tuhan Pencipta Bahagia

Lindungilah mereka..


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

”Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu Wanita yang solehah, Rumah yang luas, Jiran yang baik dan Kenderaan yang selesa.!”


Sunday, May 15, 2011

Tulang Bukan untuk diPatahkan



Pengalaman menjiwai tulang patah ketika patahnya tulang betul boleh mematahkan.

Allah telah menetapkan saya dikelilingi oleh mereka-mereka yang senantiasa mengingatkan diri untuk terus asa. Alhamdulillah.

Terima kasih atas segala.

//

Di rumah,

malam 2hari lepas saya dikejutkan dengan suara raung tangis dari pintu pagar terus disertai ketukan bertalu dari pintu utama. Allahu Rabbi tersentak sebentar. Kebetulan ayahanda dan bonda ke Melaka. Cuma yang ada saya, Atuk yang telah uzur serta adik perempuan ketiga dan juga kawannya.

Lantas sepasang tongkat setia saya gapai untuk menggagahkan diri ke pintu melihat tetamu yang hadir.

Dalam esakan tertahan Puan tersebut menceritakan kejadian. Saya lihat ibu jarinya melentik pelik, seakan tulang mahu keluar dari kulit. Entahkan patah, terkehel atau terkeluar sendi saya agak sendiri.


Mujur ada bandage dari Mesir ditepi, saya cuba membalut walaupun kurang reti. Suasana cemas tersebut telah membantu saya melakukan kerja Cik Misi sebelum Puan tersebut dibawa ke Hospital untuk rawatan susulan.

//

Kesakitannya mengingatkan kesakitan saya tika di Mesir, ketika salah seorang Tuan Doktor dari Hospital Assafiroh membetulkan kedudukan tulang saya yang patah sejurus fiber glass dibalut pada kaki saat ia belum keras.

Allah.. saya hanya mampu menepuk dinding saat itu kerana proses tersebut dibuat tanpa bius.

Tekanan yang ditekan kuat oleh Doktor pada tempat tersebut rupanya menambahkan kecederaaan. Padanlah rasa semakin nyeri setiap hari.

Itupun dapat dilihat selepas seminggu. Doktor mahu kaki di X-ray lagi, mungkin ada perubahan. Doktor tersebut kelihatan berkerut selepas melihat perbezaan x-ray kali pertama. Kelihatan benar tulang saya yang patah semakin terperosok juga wujud serpih-serpih berbanding x-ray pertama sebelum fiber glass menjadi Boot kaki.

Doktor arahkan pembantunya belah ditengah-tengah boot kaki ini. Kemudian guna alat dari besi untuk kopak bagi kedudukan simen tidak sesendat sebelum ini. Ngerilah cara mereka, tak percaya? rakamannya ada.

Alhamdulillah dengan ujian. Hikmahnya pada DIA yang sangat berkuasa.

Tahukah, saya merasa sakit tersebut tanpa ubat pemati rasa. Saya berMoga rasa tersebut bisa memadamkan dosa...

amin





Pengalaman ini juga beri saya rasa bertayamum telah sebulan lama, siapa sangka?




P/s: Jangan terajang isteri. Allah murka.

Astaghfirullah. Mari beristighfar.

Khabarkan padaku



Menerima panggilan dari Pemukim pesisiran pantai Mediterranean, Mesir ternyata mendebarkan. Padahal telah sah-sah saya tahu pasti akan diberitakan mengenai tarikh. Tarikh berharga.


Keramatnya tarikh tersebut dek impak besar pada kehidupan seorang yang belajar. Tarikh peperiksaan sebetulnya. Tak keramat kau kata? tak masuk periksa memanglah tak rasa.


Jadi 2hb Jun saya akan berdepan dengan ujian lisan Al Quran dan Tauhid manakala untuk ujian bertulis bagi 12 madah pula bermula pada 19hb Jun.


Cik Ummu, Syukran ya! Terima kasih kerana memberitakan pada saya yang berada di tanah air kini. Insya Allah saya akan menarik kerusi untuk menduduki dewan peperiksaan di sana nanti. Amin.


Doakan ya.



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails