Setelah beberapa beberapa ketika saya bertangguh untuk memberi penjelasan
tentang perkara ini, dan atas keseganan sendiri untuk melakukan post
ini, akhirnya, insyaALLAH kali ini saya berusaha mengupas isu istihadah
ini sedikit berbeza dari biasa. Atas permintaan beberapa sahabiah, dan
adik usrah, saya harap pembaca lain akan sedikit terbuka walau isu ini
lebih kepada urusan wanita.
Selalu saya di tanya oleh sahabiah yang mengalami masalah kitaran haid tentang waktu sebenar kitaran haid dan cara mengenali dan membezakan antara haidh, nifas dan darah
istihadah, cara pengurusan dan amalan yang boleh dan tidak ketika dalam
setiap keadaan. Ketiga-tiga perkara di atas merupakan antara perkara
terpenting yang amat-amat perlu difahami teori dan praktikalnya bagi
setiap insan bergelar wanita. Ia amat perlu supaya ia memudahkan urusan
ibadah kita dan amat penting juga dalam urusan berumahtangga. Berkenaan dalam ikatan suami isteri, boleh saya katakan, isu-isu ini turut penting bagi golongan muslimin dalam mengetahui dan memahami kondisi isteri terutamanya supaya kelak tiada kecelaruan berlaku.
Namun, entri kali ini, saya tidak bercadang untuk mengupas satu persatu teori dan pengurusan diri atas ketiga-tiga perkara tersebut kerana terlalu banyak rujukan yang mudah
di dapati dan jauh lebih baik dari kefahaman saya sendiri, malah ia
juga merupakan rujukan saya. InsyaALLAH kali ini, saya ingin
memfokuskan kepada perspektif lain tentang istihadah, tentang wujudnya
istihadah yang lebih dari kerana ianya darah kotor yang disebabkan oleh
penyakit dan sebagainya.
Overview darah Istihadah
Atas kesedaran dan kefahaman seorang muslimah, istihadah lebih mudah di fahami sebagai darah wanita yang mengalir luar dari masa kitaran haid.
Istihadah ialah darah yang keluar secara berterusan bagi seorang
wanita. Ia keluar tanpa terputus-putus atau mungkin terputus sekejap
seperti sehari-dua dalam sebulan. Ia boleh di kesan dengan mengenal
pasti waktu keluarnya darah yang berbeza dan ‘terlebih’ dari biasa
(mengikut kitaran haid normal bagi individu), dan melalui warna darah.
Terdapat beberapa dalil atas kes istihadah. Dalil bagi kes pertama, yakni darah keluar tanpa terputus-putus ialah sebagaimana aduan Fathimah binti Abi Hubaisy radhiallahu ‘anha kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana di dalam Shahih al-Bukhari:
“Ya Rasulullah! Sesungguhnya aku tidak suci” manakala dalam satu riwayat yang lain: “Aku didatangi istihadah maka aku tidak suci.”
“Ya Rasulullah, sesungguhnya aku didatangi darah istihadah yang banyak.” [Musnad Ahmad, Sunan Abu Daud dan Sunan al- Tirmizi dan beliau (al-Tirmizi) mensahihkannya.]
Kesedaran atas berlakunya istihadah perlulah hadir dari kefahaman tentang
perbezaan waktu suci sepatutnya dan waktu kotor sepatutnya (kitaran
haid). Jadi terlalu penting bagi seorang muslimah untuk mencatitkan
waktu kedatangan haid untuk memudahkan urusan ibadah kita terutamanya.
Banyak perbincangan dan buku yang boleh di rujuk untuk perkara ini.
Istihadah :: permainan syaitan?
Di luar sedarnya kita, wahai kaum muslimah, saya ingin tegaskan di dalam
entri kali ini bahawa masalah istihadah merupakan salah satu bentuk
gangguan syaitan ke atas wanita. Hal ini ada di bincangkan di dalam
kuliah tafsir al-a’raf oleh Ustaz Zahazan di radio Ikim.fm, dan
beberapa kuliah fiqh muslimat di uia, serta terdapat beberapa buku yang
turut membincangkannya seperti fiqh wanita, petunjuk quran dan sunnah
berkenaan haid, istihadah dan nifas (terbitan alfirdaus.com), dan
beberapa kitab lain.
Tentu, terlalu normal orang mengatakan bahawa darah istihadah merupakan darah kotor seseorang
yang mungkin di sebabkan oleh beberapa faktor seperti penyakit,
pengambilan makanan, stress dan sebagainya. Dan ini sememangnya
terdapat hadith sahih tentangnya. Namun, saya tertarik untuk
membincangkan satu hadith;
Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan,maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada
ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu
telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua
puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah
kamu berpuasa.”
[Sunan Abu Daud– no: 248 (Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – no: 118 (Kitab al-Thaharah) dan berkata al-Tirmizi, hadis ini hasan sahih]
Hadith
ini jelas menyatakan bahawa darah istihadah merupakan darah yang
disertai oleh syaitan. Suatu perkara yang besar saya kira untuk di
fahami oleh muslimah terutama sekali yang berhadapan dengan istihadah.
Permainan pertama berkaitan istihadah adalah dalam urusan beribadat.
Sudah tentunya seseorang yang mengalami istihadah akan mengalami
kekeliruan sekaligus mengundang perasaan was-was dalam melakukan
ibadah. Jadi tidak hairanlah mengapa muslimah yang mengalami hal
istihadah sering bertanya kepada
pelbagai pihak, walau sudah berulang kali dek kerana inginkan
kepastian. Alhamdulillah, at least mereka sedar akan pentingnya
memahami hal istihadah dan pengurusan supaya tidak
menjejaskan urusan ibadah. Jadi jelas sekali, ini merupakan salah satu
tipu daya syaitan dalam membina perasaan was-was sekaligus menghalang
kita mencapai kesempurnaan dalam ibadah seperti solat.
Selain
itu, masalah istihadah dan permainan syaitan yang ke dua melibatkan
sistem hubungan suami isteri dan institusi rumah tangga. Merujuk kepada
surah al-baqarah ayat ke 102, di situ ada
menyatakan bahwa terdapatnya sihir syaitan yang berperanan memporak
perandakan dan mencerai beraikan suami isteri dan ada ulama’ yang
menghuraikan salah satu method yang di maksudkan adalah istihadah yang
mana ia merupakah salah satu daf’ah (tipu daya) syaitan ke atas wanita
dan suami dalam melahirkan kecelaruan dalam institusi rumah tangga
melalui hubungan suami isteri tersebut. Ini di sokong oleh beberapa
hadith yang menyatakan bahawa, syaitan itu pendamping bagi kaum
muslimah, dan ada juga hadith yang menyatakan wanita itu pembawa
syaitan. Jadi jelas membuktikan bahawa istihadah merupakan salah satu
permainan spiritual syaitan ke atas emosi dan hubungan suami isteri.
Punca atas sedar
‘Kita stress lately, workload berat sangat…hmm, macamana ya?’ itu alasan selalu saya terima dari sahabiah yang bertanya.
Dari perspektif lain, sebenarnya muslimah perlu selalu bermuhasabah.
Berfikir di luar kotak fikiran biasa. Sistem edaran darah wanita
merupakan salah satu anugerah besar bagi seseorang wanita. Ada yang
mengatakan ‘hadiah’ untuk wanita setelah setiap hari menanggung
pelbagai kerja dalam kehidupan dan kitaran darah merupakan ‘cuti umum’
untuk menghilangkan lelah. Selain itu, kitaran darah juga menyucikan
sistem tubuh wanita dengan membuang setiap darah kotor. Jauh dari itu,
dapat dilihat, bahawa sistem ini merupakan ‘signal’ bagi muslimah yang
berpenyakit, dan sebenarnya merupakan ‘ingatan’ untuk mereka yang
sebenarnya sakit dari segi spiritual.
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy:
“Sesungguhnya
yang demikian itu ialah ‘irq (penyakit) bukanlah darah haid maka
apabila datang haid maka hendaklah kamu meninggalkan solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 306 (Kitab al-Haid)]
Terdapat
dua jenis penyakit di sini yang dihuraikan oleh beberapa ulama’ atas
maksud ‘irq (penyakit) di dalam hadith di atas. Penyakit yang jelas
adalah penyakit fizikal iaitu berkemungkinan seseorang yang mengalami
istihadah merupakan tanda-tanda wujudnya penyakit dalaman di dalam
tubuh badan wanita. Dan penyakit ke dua yang dimaksudkan ialah penyakit
jiwa. Penyakit jiwa ini bermaksud hubungan kita dengan ALLAH swt yang
mana semakin hari semakin lemah.
Seorang wanita yang mengalami istihadah tentunya faham keadaannya semasa itu. Bagi mereka
yang stress, selalu cenderung mendera fizikal dengan meratapi stress
tanpa cuba mengkaji spiritual semasa saat itu. Saya telah mengupas isu
stress secara ringkas (di sini). Ia jelas menunjukkan bahawa sebab-sebab hadirnya stress yang sekaligus bisa menjarakkan hubungan semasa kita dengan ALLAH swt.
Antara perkara lain yang melibatkan penyakit rohani ialah;
1. Kelemahan hati: hati yang tidak kuat
2. Kelemahan roh:
e.g.: instinct. Dan kelemahan batin dalam menghadapi setiap urusan .
Jadi ini sala h satu sebab wanita yang menghadapi stress ada yang akan
mengalami istihadah
3. Pengaruh nafsu: terarah kepada benda yang tidak baik
4. Kelemahan akal : Akal tidak dapat menerima bebanan semasa dek kerana tidak diarahkan oleh kekuatan iman dan sebagainya
Atasi secara spiritual
Terdapat beberapa cara mengatasi Istihadah secara spiritual iaitu;
1. Selalu berwudu’.
Sentiasa memperbaharui wudhu seperti yang di lakukan oleh Rasulullah
saw untuk memastikan diri kita sentiasa suci dan jauh dari gangguan
syaitan
2. Mengamalkan doa; Bismillahillazi la yadurru maas mihi syai’un fil ardhi wala fissamai wahuwassami ul’azim
3. Memperbanyakkan hadir ke majlis-majlis ilmu
4. Bertadabbur
5. Bersedekah; memelihara harta dan mensucikan jiwa (salah satu melalui zakat)
6. Mengamalkan zikir.
Walau dalam keadaan berhadas. Dan ALQURAN sebagai zikir terbaik dan
pakaian jiwa. Amalan lain seperti Al-mathurat dan al-manzil
7. Mengamalkan solat dhuha
Apapun
maksud dan sebab di sebalik hadirnya istihadah yang di beri oleh ALLAH
swt buat insan bergelar wanita, ia merupakan anugerah terbesar iaitu
sebagai ‘signal’
awal dalam memberi peluang wanita untuk mengambil langkah untuk
mengubati. Walau berpenyakit fizikal sekalipun, bersangka baiklah
kerana ia pasti dapat menyucikan dosa kita di dunia tanpa perlu di
hitung di akhirat, dan bersyukurlah kita masih di beri masa untuk
mengambil langkah mengubati tanpa terus di tarik nyawa, dan jika ia
tanda stress dan permasalahan jiwa, maka itu tandanya DIA sentiasa
mengingati kita dan memberi waktu untuk kita bermuhasabah supaya kita
sentiasa berhubung denganNYA dan sehingga waktu kita bertemu denganNYA
dalam keadaan bersih jiwa. SubhanALLAH.
Bukankah begitu untung menjadi wanita
kita sentiasa berada di bawah jagaan dan tarbiyyahNYA.
Jadi,
apapun keadaan menghambat, jangan lupa untuk selalu bermuhasabah akan
kekurangan diri bukan menyalah kan takdir semata atas musibah yang
melanda. Dan walau sesibuk mana pun kita dan di mana jua kita di
campakkan, pasti kan sentiasa hati dan jiwa kita tetap berhubung
denganNYA.
Wallahua’lam
2 comments:
Salam Adik, entry yg akan sentiasa membantu diri ini selalu bersedia dan bersiap. Mengingati Allah sesuatu yg msti kita selalu lakukan walau di mana, zikir, zikir dan zikir! Tima kasih berkongsi ilmu dgn kami, Syukran!
good entry, syukran ya akhi~
Post a Comment