Monday, September 19, 2011

DIA yang dicintai.

"Tahniah Kak!" kata mereka.


Lebih kurang jam 4 petang waktu Malaysia 3 September lalu, dikhabarkan pada saya Natijah Imtihan maksud kata, keputusan periksa. Subjek yang sempat saya masuk periksa. Lulus semua. Alhamdulillah. 

Padahal di tanggal Syawal ke-5 jugalah hati diruntun sebak. Hari yang sama duka dan suka berkongsi masa. Senyum dengan lelahan air mutiara.
Terima kasih ya Allah atas segala ketentuan.



Pagi.

Seusai subuh, Mama kata "cuba pergi tinjau Atuk tu..." Selalunya Atuk bangun dahulu.

Sememang sudah menjadi tugas untuk sediakan sarapan Atuk tercinta. Sebelum ke dapur saya singgah tengok dan tanya macam selalu. Pintu bilik Atuk yang sedia terbuka saya masuk. Keadaan cahaya bilik masih samar-samar waktu pagi. Melihat cara Atuk tidur waktu itu betul-betul menyentapkan hati. 

Allah..

Lantas saya merapati katil. Atuk berbaring dengan matanya terkatup rapat. Bibir Atuk juga. Tangannya seperti qiam dalam solat. Kedudukan bantal juga tak seperti biasa. Melihat suasana, jantung saya berdegup kencang. 

"Atuk..." panggil saya perlahan.

"Atuk.."

"Atuk." Saya panggil lagi. 


Panggilan ketiga yang tiada sahutan membuat kolam mata jadi tadahan. Saya panggil Atuk lagi mana tahu lena betul Atuk tidur kali ini.

Saya pegang tangan Atuk kali ini. Sejuk.


"Atuk.." saya gosok tangan Atuk. Perlahan saya goncangkan. Tiada balasan. 
Saya tahu Atuk akan pergi.. dan pasti sampai masa semua juga akan pergi. Tak akan kembali.








Segala pengurusan Atuk terasa begitu mudah. Bukan hanya saya yang rasa bahkan semua. Sebelum zuhur jenazah Atuk selamat disemadikan. Ramai yang mensolatkan Atuk, sungguh tak tersangka. Padahal kedatangan Atuk ke rumah saya tak diketahui. Hinggakan saat Atuk pergi ada yang baru tahu kehadiran Atuk di rumah kami, namun siapa tahu Pencaturan DIA. Atuk disolatkan oleh ramai manusia.



Tak akan lupa kenangan Atuk bersama. 
10 haribulan 10 tahun 2010, Atuk menjejakkan kaki ke rumah kami. 

Padahal semua sibuk dengan posisi sendiri, Mama dan Babah mencari rezeki dan kami adik beradik masih menuntut lagi. Alhamdulillah ALLAH SWT beri ruang kami berbakti. Kami sekeluarga bergilir cuti. 


Memang sungguh hebat penyusunan ini.. sebabnya bukan perancangan dari kami sendiri.


Pengorbanan Mama mengambil cuti tanpa gaji 6 bulan bersama Atuk, sangat membanggakan saya. Saat Mama tercari-cari siapakah yang bakal menemani Atuk bila Mama habis cuti takdir telah ditentukan bahawa saya patah kaki dan pulang ke tanah air. Sekaligus mengambil giliran dan genaplah kami sekeluarga menemani Atuk.


Masih ingat lagi, hari mula saya sampai rumah dengan kaki bersimen. Kebetulan tongkat tiada lagi. Mengesot saya untuk gerak ke sana ke mari. Bergenang mata Atuk sebab yang menjaganya OKU juga.Hehe..

Kadang-kadang Atuk panggil minta tolong picitkan kaki. Bila melihat yang datangnya bertongkat, Atuk kata " Eh kau.. takpalah. Mari sini Atuk tengok kaki"..



..dan banyak lagi. 

Hari yang sama, Atuk pergi. Saya juga tahu bilakah masa yang perlu saya pergi kembali sambung mengaji.


Atuk,
 Saya sayang Atuk. Sampai masa nanti kita jumpa lagi.


 Padahal banyak lagi cerita yang mahu saya kongsi. Selebihnya biarlah saya simpan rapat jadi kenangan. 

Mudah-mudahan Atuk damai disana bersama golongan-golongan yang ALLAH SWT cintai. Amin.



1 comment:

Lintasan Hati said...

Innallilah.....takziah atas permergian atuk tercinta....Moga roh arwah termasuk didalam golongan yang soleh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails